Ketua Polis negeri, Datuk Azisman Alias berkata, kesemua kes itu dikesan dalam Op Soga yang dilancarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di seluruh negara, baru-baru ini.

“Individu-individu yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini menggunakan telefon pintar dengan jumlah pertaruhan antara RM200 hingga RM300 sahaja.

“Mereka melakukan secara bersendirian dan tidak berkumpul di kedai kopi atau kawasan terbuka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Bendera Negeri sempena Perkhemahan Kadet Polis Peringkat Kebangsaan 2018.

Piala Dunia 2018 edisi ke-21 di Rusia bermula pada 14 Jun lalu sehingga 15 Julai dan melibatkan sebanyak 32 pasukan bola sepak dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, Azisman berkata, semua kes itu melibatkan siasatan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan jumlah individu yang ditangkap sepanjang Op Soga di negeri itu. - UTUSAN ONLINE