Suspek berusia 20 dan 42 tahun itu ditahan sepasukan anggota yang sedang menjalankan pemeriksaan dan rondaan di kawasan terbabit, kira-kira pukul 3 pagi.

Menurut portal berita SabahNewsToday, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, ketika kejadian sepasukan tujuh anggota PGA melakukan pemeriksaan terhadap dua van jenis Toyota Hiace yang dinaiki suspek dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Keningau.

“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua van berkenaan, kita menemui kira-kira 7,620 karton rokok yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan cukai kastam.

“Kita turut merampas van yang digunakan kedua-dua suspek dalam kegiatan penyeludupan berkenaan dianggarkan bernilai RM140,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Hazani memberitahu, hasil siasatan mendapati rokok pelbagai jenama itu dipercayai diseludup dari Indonesia untuk diedar dan dipasarkan di daerah Keningau.

Hazani memberitahu, tangkapan dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN ONLINE