Dalam kejadian pukul 11.32 malam itu, mangsa dikenali sebagai Diki dari Long Bawan, Indonesia maut di tempat kejadian akibat mengalami pendarahan serius.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek yang berpandukan cahaya bulan menyangka objek melintas di hadapannya ialah seekor babi hutan lalu melepaskan tembakan.

Walau bagaimanapun, katanya, dia terdengar suara mangsa meraung kesakitan sebaik sahaja melepaskan satu das tembakan menggunakan senapang patah buatan sendiri.

“Terkejut mendengar jeritan itu, suspek segera berlari ke arah suara berkenaan dan mendapati seorang lelaki terbaring berlumuran darah.

“Dia cuba menolong mangsa tetapi selang beberapa minit, lelaki itu sudah tidak bernafas,” katanya ketika dihubungi di sini, petang ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pemburu itu kemudian balik ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada adiknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Lawas.

Tambahnya, dia turut menyerah diri bersama senapang yang digunakan untuk menembak mangsa. - UTUSAN ONLINE