Mangsa yang berusia 60 tahun itu dikatakan panik selepas dihubungi oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata suspek menyamar sebagai sarjan polis yang mengaku melakukan siasatan dan telah menakutkan mangsa dengan memaklumkan bahawa dia terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Katanya, suspek yang berjaya memperdayakan mangsa telah mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun miliknya.

"Mangsa yang panik telah mengikuti semua arahan suspek terbabit dengan mengeluarkan semua wang simpanannya di dalam bank Tabung Haji dan memasukkan ke dalam akaun Bank Islam miliknya.

"Seterusnya suspek turut mengarahkan mangsa mendaftar urusan perbankan secara talian dengan memindahkan sejumlah wang secara berperingkat ke dalam akaun berasingan milik suspek bermula pada 9, 10 dan 11 Januari lalu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Ismail memberitahu mangsa hanya menyedari dia ditipu pada hari ketiga melakukan transaksi ketika menyemak akaunnya dan mendapati wang simpanannya semakin berkurangan. - UTUSAN ONLINE