Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, mangsa berusia 58 tahun dari Tanjong Tualang itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dari Jabatan Hasil, Kota Kinabalu, Sabah pada Selalu lalu dan memaklumkan wanita itu terlibat dalam kes berkenaan.

Katanya, mangsa yang menafikan penglibatannya telah disambungkan panggilan dengan seorang anggota polis berpangkat sarjan dari Balai Polis Kota Kinabalu yang kemudiannya menyatakan wanita itu kemungkinan terlibat atau tidak terlibat dalam kegiatan rasuah ini dan akan menyiasat kes itu terlebih dahulu.

“Mangsa kemudiannya menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada anggota terbabit yang menyatakan dia wajib melaporkan diri setiap dua jam kepada lelaki itu.

“Bagaimanapun, pada keesokan harinya kira-kira pukul 11.50 pagi, mangsa menerima panggilan telefon daripada anggota terbabit dan memberitahu mangsa memang terlibat dalam kes berkenaan namun boleh membuat rayuan pada Bukit Aman,” katanya.

Menurut beliau, sarjan itu kemudiannya menyambungkan panggilan mangsa kepada lelaki yang dikenali sebagai Inspektor Wong dari Bukit Aman yang memberitahu kes itu boleh digugurkan tetapi dengan syarat mangsa mesti mengeluarkan semua wang simpanan di dalam bank sebelum Bank Negara membuat semakan dalam akaun yang boleh menyebabkan mangsa didakwa atas kegiatan rasuah.

Katanya, pegawai polis itu juga telah meminta wang tersebut dimasukkan ke dalam bank lain dan mangsa mengeluarkan wang sebanyak RM50,000 di sebuah bank dan RM3,000 lagi di Pejabat Pos Batu Gajah.

“Kesemua wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun seorang lelaki dengan 12 transaksi sebelum mangsa diminta mengeluarkan lagi baki simpanannya untuk dipindahkan ke akaun sama namun wanita itu enggan berbuat demikian.

“Mangsa hanya menyedari telah ditipu semalam setelah menceritakan kejadian itu pada saudaranya yang meminta dia membuat laporan polis,” katanya.

Tambah beliau, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan mereka yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE