Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supe­rintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, dalam kejadian 18 Februari 2015 itu, mangsa, Nor'aini Ismail, 62, ditawarkan pakej berkenaan yang berjumlah RM31,000 seorang oleh kenalannya dan juga suami kenalannya itu.

Menurutnya, mangsa yang berminat dengan pakej berkenaan bersetuju dan membuat bayaran pendahuluan untuk tiga individu iaitu suami, kakak ipar dan dirinya secara tunai kepada suspek berjumlah RM30,000 di kediamannya.

“Pada 16 Mac 2015, mangsa telah membuat pasport dan kemudian membayar RM6,000 sebagai bayaran tambahan pendaftaran.

“Pada 28 Mei 2015, pengadu menyerahkan kesemua pasport kepada suspek untuk urusan seterusnya dan pada 4 Jun 2015, melalui nombor akaun yang diberikan oleh suspek, mangsa membuat pembayaran ke nombor akaun bank Ambank atas nama: Ashraf Management And Training sebanyak RM7,400.

“Kemudian mangsa membu­at sekali lagi pembayaran pada keesokan harinya sebanyak RM12,600 ke akaun yang sama melalui kaunter Ambank,” kata­nya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, pada 10 September 2015, suspek me­ngadakan taklimat di rumah ka­kak mangsa dan mengatakan visa untuk menunaikan haji akan diluluskan dalam tempoh empat hari iaitu pada 14 September 2015.

Menurutnya, mangsa curiga apabila visa tidak lulus seperti dimaklumkan dan menghubungi semula suspek sebelum diberitahu bahawa visa akan lulus pada 19 September 2015 namun sehingga ke tarikh tersebut, visa pengadu tidak dapat dikeluarkan.

“Pada 4 Februari 2016, mang­sa meminta suspek memulangkan semula pasport miliknya, suami dan kakak ipar untuk tujuan pengurusan haji dan umrah dengan agensi lain.

“Suspek memulangkan pasport berkenaan pada 3 Oktober 2016, mangsa berjumpa suspek di Masjid Besar Kuantan untuk berbincang mengenai urusan pemulangan wang. Suspek berjanji akan menguruskan dengan rakan kongsinya setelah rakan tersebut pulang daripada umrah,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu berkata, mangsa kemudian ada meng­hubungi semula suspek me­minta supaya tarikh permohonan visa tersebut dibawa ke tahun 2016 sebelum dia gagal dihubungi sejak 5 Oktober 2017.

“Berasa tertipu, mangsa mem­buat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kami sedang mengesan semua suspek terlibat,” ujarnya.