Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, dalam kes itu, mangsa berusia 84 tahun melakukan transaksi pindahan wang sebanyak lapan kali dari 31 Disember 2018 hingga Selasa lepas.

“Berdasarkan laporan, pada 30 Disember 2018 mangsa menerima panggilan menerusi telefon rumahnya dan diberitahu talian tersebut akan ditamatkan perkhidmatan dalam masa dua jam dengan mendakwa pengadu pernah didaftarkan bagi tujuan judi dalam talian.

“Pengadu yang menafikan perkara itu kemudian disambungkan kepada individu menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwa pengadu terlibat dalam pengubahan wang haram dan perlu direman sebelum disambungkan kepada seorang lagi individu yang meminta mangsa membuat pindahan wang,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian mengikut arahan individu berkenaan dengan membuat transaksi pindahan wang di beberapa buah bank di sini sebelum sedar diperdaya.

Katanya, pengadu membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE