Apa tidaknya, walaupun pelbagai hebahan, laporan media dan amaran pihak berkuasa dikeluarkan, namun begitu ramai yang tidak serik dan akhirnya terjerat sehingga mengalami kerugian wang ringgit dengan harapan mendapat pulangan mewah.

Atas faktor itu, sindiket penipuan amat licik mengatur strategi dengan menawarkan 1001 peluang bagi mengambil kesempatan khususnya terhadap golongan yang terhimpit dengan masalah ekonomi.

Ikuti laporan khas wartawan Mingguan Malaysia, HADI AB. MANAP yang mengupas berhubung penipuan sindiket yang begitu licik menawarkan peluang menjadi lelaki dan perempuan simpanan kepada golongan kaya dengan upah lumayan sekali gus memanipulasi serta mengeksploitasi maklumat mangsa untuk menjana keuntungan atas angin.

KUALA LUMPUR 22 Dis.  -  Menjanjikan upah RM5,000 sehari untuk menjadi lelaki atau perempuan simpanan kepada golongan kaya sebagai teman serta hamba seks. 

Itulah taktik sindiket yang dipercayai didalangi warga asing bagi mempedaya sebelum melarikan wang mangsa khususnya dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi media sosial.

Hasil penelitian Mingguan Malaysia, sindiket terbabit dikesan menggunakan platform Asia Dating Hookup Malaysia Forum dan semakin bergerak aktif menjerat mangsa menerusi laman Twitter.

Menerusi laman media sosial tersebut, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu akan menghubungi pengendali laman sosial tersebut se­­belum diminta mem­bayar sejumlah wang sebagai yuran pendaf­taran yang mence­cah RM1,250.

Yang menghai­­rankan, ramai terpengaruh malah tu­rut bersetuju dengan salah satu syarat ditetapkan sindiket berkenaan iaitu menyerahkan kad bank dan nombor pin dengan alasan sebagai cagaran kononnya mang­sa tidak melarikan diri.

Bukan itu sahaja, sindiket terbabit begitu licik dengan menggunakan akaun bank mangsa terdahulu untuk menerima pembayaran wang pendaftaran mangsa baru. Ini bermakna pihak berkuasa sukar menjejaki kegiatan mereka.

Malah dalam penipuan itu, sindiket terbabit turut mengeksploitasi data peri­badi individu lain dengan mengambil gambar wanita ataupun lelaki daripada laman Facebook dan Instagram bagi mengumpan mangsa yang didakwa akan menjadi ‘sugar mummy’ atau ‘sugar daddy’ kepada mangsa.

Dalam pada itu, wartawan yang turut menghubungi sindiket berkenaan bertanyakan bagaimana urusan penye­rahan kad bank dilakukan dan sindiket memaklumkan tiada pertemuan diadakan sebaliknya perlu menggunakan perkhidmatan e-hailing atau Grab di mana pemandu diupah akan mengambil kad tersebut da­ripada mangsa.

Apapun, sindiket bukan sahaja cermat dalam mengatur langkah malah tidak ramai mang­sa yang mahu tampil berikutan malu kerana bimbang identiti mereka terdedah memandangkan bersetuju dengan perkhidmatan tidak bermoral itu.

Apatah lagi, menerusi bu­tiran dan maklumat peribadi seperti gambar, umur, nama IPT serta jurusan, sindiket tu­­rut bertindak mengugut akan mendedahkan perbuatan mangsa kepada umum sekiranya mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Lebih mengejutkan, siasatan turut mendapati nombor tele­fon digunakan sindiket turut dipakai untuk tujuan lain antaranya penipuan derma buah pinggang membabitkan bebe­ra­pa hospital di India.