Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk S. Dev Kumar berkata, serbuan melibatkan 59 jualan loteri haram, 25 judi siber, lapan berjudi dalam premis perjudian dan lima judi di tempat awam.

Katanya, operasi itu dijalankan pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan daerah.

“Usaha menghapuskan judi online diteruskan dengan menyerbu kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi menawarkan perkhidmatan isian semula judi online.

“Sebanyak 25 serbuan dijalankan di 10 daerah berjaya menangkap 30 operator perkhidmatan itu, di samping merampas 27 telefon bimbit bersama wang tunai RM6,299,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 59 lagi serbuan dijalankan pada kaunter jualan loteri haram di 15 daerah dengan menangkap 74 individu dan merampas wang tunai RM20,501 bersama peralatan lain.

“Kelmarin, empat pegawai dan 12 anggota dari JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) diketuai Asisten Superintenden Rudy Gary menjalankan 32 serbuan kaunter loteri haram di Emart Tudan, Morsjaya, Jalan Dato Permaisuri dan Taman Tunku, Miri.

“Seramai 46 individu ditahan dan wang tunai RM14,439 dirampas bersama telefon bimbit, pencetak bergerak, kalkukator, slip taruhan dan peralatan tulis,” ujarnya.

Beliau berkata, 56 individu lagi ditahan berjudi holo di 13 daerah dengan rampasan wang tunai RM4,410 dan peralatan judi dirampas.

“Keseluruhannya, daripada160 individu ditangkap, 90 orang merupakan lelaki dan 70 wanita berusia 16 hingga 61 tahun termasuk lapan warga asing.

“Kesemua mereka ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya.

Infografik:

Serbuan-serbuan dijalankan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Daerah :

1) JSJ IPK - 32 serbuan (di Miri)

2) Kuching - 10 serbuan

3) Betong - 9 serbuan

4) Padawan - 7 serbuan

5) Sibu - 4 serbuan

6) Bintulu - 4 serbuan

7) Miri - 3 serbuan

8) Bau - 3 serbuan

9) Saratok - 3 serbuan

10) Kota Samarahan - 2 serbuan

11) Serian - 2 serbuan

12) Simunjan - 2 serbuan

13) Sarikei - 2 serbuan

14) Limbang - 2 serbuan

15) Kapit - 2 serbuan

16) Sri Aman - 2 serbuan

17) Mukah - 1 serbuan

18) Matu Daro - 1 serbuan

19) Marudi - 1 serbuan

20) Meradong - 1 serbuan

21) Tatau - 1 serbuan

22) Lundu - 1 serbuan

23) Kanowit - 1 serbuan

24) Lawas - 1 serbuan