Lee Lam Thye

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, menerusi kerjasama erat tersebut, orang ramai boleh bersama-sama menyalurkan pandangan atau maklumat berkaitan pencegahan jenayah menerusi NGO terlibat.

“Kita mempunyai banyak persatuan lain yang memberi tumpuan untuk memerangi jenayah, tidak semestinya mereka hanya datang kepada MCPF tetapi NGO lain yang berkaitan juga menyediakan saluran yang sama.

“Dalam masa sama, saya turut berharap kesemua NGO lain agar boleh memberi lebih fokus terhadap aspek mencegah jenayah kerana perkara ini sangat penting dan MCPF bersedia pada bila-bila masa untuk menggembleng tenaga,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Kesedaran Mencegah Jenayah Daerah Batu Pahat, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ke­tua Polis negeri, Datuk Ismail Yatim; Pegawai Daerah, Mohd. Halim Hasbullah; Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad dan Pengerusi MCPF Batu Pahat, Khadmudin Mohamed Rafik.

MCPF yang ditubuhkan pada 1993 menjalankan kempen tersebut di beberapa tempat untuk memberi peluang kepada masyarakat terlibat sama dalam usaha mencegah dan memerangi jenayah.

Lam Thye berkata, penglibatan awam merupakan kunci utama memastikan usaha pencegahan jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan kerana kesedaran orang ramai mampu membantu pihak berkuasa menangani kegiatan itu.

“Saya selalu menegaskan tentang penglibatan awam dalam per­kara ini dengan memperba­nyak aktiviti, program pencegahan supaya pihak polis dapat sentiasa bersama-sama orang ramai.

“Jadi, orang ramai boleh bertemu dengan polis untuk me­nyalurkan apa-apa sahaja maklumat berkaitan perlakuan jenayah di kawasan mereka sehingga kegiatan tersebut dapat ditumpaskan,” katanya.