Shafien Mamat
Shafien Mamat

Suspek yang telah ditahan reman selama dua hari bermula Khamis lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang (IPD) Klang Selatan, ditahan semula selama enam jam di IPD Shah Alam atas dakwaan yang sama pada pukul 2 petang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 8 malam semalam.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat (gambar) ketika ditemui mengesahkan penahanan suspek wanita berusia 35 tahun itu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Kita menerima empat laporan mengenai dakwaan penipuan pakej perkahwinan membabitkan suspek. Kita telah memanggil suspek berkenaan untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan tersebut.

“Pada masa sama, kita turut mengambil pasport milik suspek bagi memastikan dia tidak lari ke luar negara. Mungkin Selasa ini kita boleh tentukan tindakan selanjutnya ke atas suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 31 Ogos lalu, Mah­kamah Majistret Klang telah mengeluarkan perintah reman selama dua hari sehingga semalam ke atas suspek bagi membantu siasatan dakwaan kes penipuan pakej perkahwinan yang membabitkan kira-kira 100 pasangan dan bakal pengantin.

Terdahulu, Shafien bersama-sama lebih 150 warga IPD Shah Alam menyempurnakan ibadah korban sempena Aidiladha membabitkan 11 ekor lembu.