Namun kegiatan lelaki berusia 31 tahun itu tidak bertahan lama apabila dia ditahan dalam Op Rentap yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pukul 1.15 petang Selasa lalu.

Lelaki terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan ragut di sekitar Jalan Bagan Luar dan Jalan Raja Uda dekat Butterworth, Jalan Bagan Lallang Mak Mandin, Jalan Sungai Puyu dan kawasan Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, polis percaya telah berjaya menyelesaikan sebanyak 12 kes di kawasan SPU dan dua kes di kawasan Seberang Perai Tengah dengan tertangkapnya lelaki yang memiliki enam rekod jenayah termasuk kes ragut dan samun selain kes dadah.

“Penahanan lelaki itu juga membawa kepada penemuan empat buah motosikal curi yang digunakan untuk melakukan ragut selain barangan peribadi mangsa-mangsanya seperti Mykad, dokumen peribadi, beg duit serta banyak lagi yang dianggarkan bernilai RM25,000.

“Hasil siasatan ke atas suspek, polis berjaya menahan teman wanitanya yang berperanan untuk menggadaikan barangan yang diragut itu pukul 4.45 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine. Kes isiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (samun mendatangkan cedera) dan Seksyen 379 kanun keseksaan (curi ragut).

Jelas Noorzainy, lelaki itu kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut manakala kekasihnya yang berusia 34 tahun akan direman hari ini. - UTUSAN ONLINE