Dalam serbuan kira-kira pukul 8.43 malam itu, lelaki warga tempatan berusia 46 tahun tersebut ditahan selepas dipercayai menjalankan aktiviti menjual rokok seludup sejak Januari lalu.

Penahanan lelaki itu kemudian membawa kepada penemuan sebuah lagi rumah yang disewanya untuk dijadikan setor penyimpanan rokok seludup di kawasan Batu Belah di sini.

Komander Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggotanya diketuai Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Deputi Superitenden Mohd. Khairuddin Jamal mengekori kereta Nissan Ceffiro yang diguna bagi membawa rokok seludup di Pekan Kapar.

“Kita telah mengekori individu ini sehingga ia berhenti di sebuah rumah di Batu Nilam, dan kami menahannya semasa hendak memasuki kediaman tersebut.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan 486 karton pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Rosman, pemeriksaan ke atas setor menyimpan rokok yang disewa lelaki itu pula menemukan 2,150 karton rokok dengan nilai cukai bernilai lebih RM413,986.

“Lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan cukai dan rokok itu dipasarkan di sekitar Kapar dan Meru. Lelaki ini sudah dibawa ke Markas Operasi PPM, Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. -UTUSAN ONLINE