Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Noor Zaidi Abd. Ropah, 34, dan Mohamad Zabri Abdullah, 42, sedang berehat dalam kereta masing-masing di hadapan stesen minyak tersebut sebelum muncul tiga suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, tiga suspek bertopeng separuh muka yang menaiki kenderaan jenis Honda Jazz menghampiri kereta mangsa dan mengetuk cermin sambil mengacukan senjata seakan pistol serta parang.

"Mangsa kemudian diarah keluar sambil diacukan senjata agar menyerahkan segala barang berharga milik mangsa.

"Salah seorang mangsa turut mengalami kecederaan pada bahagian bahu apabila ditoreh mengunakan parang pendek oleh salah seorang suspek, " katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dzulkifli berkata, ketiga tiga suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Honda Jazz nombor pendaftaran WNA 6665 berwarna perak menghala ke arah Pasir Puteh.

Tambahnya, kerugian dialami mangsa termasuklah wang tunai RM1,000 dan tiga buah telefon bimbit.

"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan bersenjata, " ujarnya. - UTUSAN ONLINE