Berikutan itu, polis kini sedang giat memburu suspek selepas mengenal pasti identiti lelaki berkenaan melalui kad pengenalan tersebut.

Ketua Polis daerah, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, suspek datang ke premis berkenaan dan berpura-pura sebagai pelanggan untuk membeli telefon bimbit.

Katanya, suspek meminta pemilik premis terbabit mengeluarkan sebuah telefon bimbit berjenama untuk dilihatnya terlebih dahulu dan

bertindak melarikan barangan tersebut selepas itu.

“Pemilik kedai berjaya menarik beg sandang di bahu suspek dan berlaku sedikit pergelutan diantara mereka.

“Bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri dengan sebuah motosikal namun beg miliknya itu berjaya dirampas pemilik kedai terbabit. Di dalam beg tersebut, ditemukan kad pengenalan mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Wari, berikutan kejadian itu, pemilik kedai tersebut mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik di sini sebelum melaporkan kes itu kepada polis.

“Kita sudah kenal pasti dan yakin lelaki itu akan diberkas tidak lama lagi memandangkan dokumen pengenalan dirinya berada dengan pihak polis,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.- UTUSAN ONLINE