Dalam kejadian pukul 7.45 malam itu, suspek yang boleh dianggap sebagai penyamun ‘1Malaysia’ kerana terdiri daripada Melayu, Cina dan India melarikan diri daripada polis.

Pada mulanya, pihak polis melihat kereta Honda Civic FC putih di Lebuhraya Pasir Gudang-Johor Bahru, dekat sini dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurnain Jais berkata, sebelum kejadian itu, sebuah kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melakukan rondaan di lebuh raya itu sebelum melihat kenderaan itu.

“Pihak polis kemudian me­ngarahkan suspek yang memandu kereta tersebut berhenti dengan membunyikan siren namun tidak diendahkan suspek sebelum memecut laju.

“Semasa mengejar mereka, kenderaan dinaiki tiga suspek itu dipandu melawan arus dan melanggar sebuah kereta peronda polis dari IPD Seri Alam, Pasir Gudang dan dua kereta orang awam.

“Polis terus mengejar kereta tersebut sejauh kira-kira 35 kilometer sebelum berjaya ditahan di kawasan jejambat Jalan Datin Halimah, Larkin, Dua lelaki bertindak melarikan diri namun berjaya ditahan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan dibawa ke Balai Polis Larkin untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurnain berkata, hasil siasatan menemukan beberapa peralatan dipercayai untuk sa­mun iaitu satu batang kunci Allen yang diubah suai, satu ba­tang spana, satu batang pengumpil kuku kambing berwarna hijau. Turut ditemukan satu dom­pet wanita jenama Sophie Paris dan dua alat kawalan jauh kereta.

Sementara itu, kereta Honda Civic FC yang digunakan suspek merupakan kenderaan yang hilang di Kota Damansara beberapa bulan lalu dipercayai dicuri.

Beliau berkata, ujian air ken­cing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methapetamin serta kesemua mereka direman bermula hari ini hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal mendapati suspek wanita Melayu dan lelaki India masing-masing mempunyai dua rekod berkaitan dadah manakala lelaki Cina mempunyai lapan rekod dadah selain dikehendaki polis atas kes berlainan.