MOHD. HUDARI MD. ISA
MOHD. HUDARI MD. ISA

Difahamkan Mohamad Hudri Md. Isa, 24, dari Kampung Kilang Makau, di sini ditahan pihak berkuasa Mesir selepas gagal mengemukakan pasport sebagai pengenalan diri pada 16 Ogos lalu.

Abangnya, Mohamad Hazmir, 32, berkata, berita pembebasan Mohamad Hudri pada tengah malam semalam disambut dengan penuh kesyukuran oleh mereka sekeluarga.

“Kami mendapat maklumat mengenai pembebasannya kira-kira pukul 12.30 pagi semalam. Dia disambut oleh Pegawai Pejabat Atase Pendidikan Kedah di Mesir, Mohd. Baihakhi Hassan serta rakan-rakannya yang lain di sana.

“Kami sekeluarga sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana memakbulkan doa kami supaya Mohamad Hudri dapat dibebaskan segera,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Mohamad Hazmir, menerusi mesej WhatsApp yang diterima daripada adiknya memberitahu dia berada dalam keadaan sihat cuma mempunyai masalah mengenai makanan ketika ditahan dalam lokap.

“Adik saya memberitahu yang pihak berkuasa di negara tersebut tidak menyediakan makanan jadi adik saya terpaksa mendapatkan ihsan daripada tahanan lain yang mempunyai makanan.

“Selain itu, dia memberitahu bebas membuat aktiviti lain termasuk menjadi muazin apabila tiba waktu solat,” ujarnya.

Tambahnya, mereka sekeluarga sangat berteri­ma kasih kepada semua pihak termasuk Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad yang membantu urusan pembebasan adiknya itu.