Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat banyak helaian benang terjuntai dan sisa-sisa ikatan iklan yang tidak dibuang.

“Terdapat helaian benang yang paling panjang hampir 3.2 meter telah terkena dagu dan leher mangsa sehingga terpaksa menerima hampir 30 jahitan.

“Justeru itu, kita menggesa pihak yang berwajib terhadap jalan serta lebuh raya mengambil tindakan ke atas iklan atau kain rentang haram serta membersihkannya dengan baik bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, perkara itu tular dalam akaun laman sosial Facebook Brotherhood Shah Alam yang menunjukkan gambar mangsa cedera di dagu akibat terkoyak manakala lehernya bengkak akibat terjerut tali tangsi itu berhampiran susur keluar Kampung Kayu Ara di Lebuh Raya Sprint.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.07 petang itu, mangsa, Rahmat Imana, 23, tidak menyedari terdapat seutas tali tangsi ketika melalui laluan motosikal di lebuh raya tersebut.

Akibat kecederaan itu, mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menerima hampir 30 jahitan di dagu. - UTUSAN ONLINE