Tertuduh, Noor Faezah Mohd, 34, yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim S. Indera Nehru.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan curangnya telah menyalahgunakan harta iaitu Peruntukan Kecil Kerajaan Negeri Perak Belanjawan Bagi Tahun 2015, kod program/aktiviti 310110 dengan membuat kelulusan pembayaran Baucer Bayaran bernombor V0000831 berjumlah RM3,240 ke akaun Syarikat Sricomp Solutions tanpa pengetahuan ketua jabatannya iaitu Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR)Cawangan Mekanikal Perak, Ahmad Fikri Mohamed Omar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di JKR Cawangan Mekanikal Perak, Lorong Lahad di sini pada 26 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan menyalahgunakan harta sama bagi kod program/aktiviti 310080 dengan membuat kelulusan pembayaran Baucer Bayaran, masing-masing bernombor V0000831 berjumlah RM3,868 dan V0000960 bernilai RM4,000, ke akaun syarikat sama, tanpa pengetahuan ketua jabatan sama di tempat sama, pada 30 Jun dan 8 Julai 2015.

Kesemua pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan tidak melebihi lima tahun beserta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Oktober ini. - UTUSAN ONLINE