Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. (gambar) berkata, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya orang ramai memiliki objek yang kelihatan seperti senjata api kerana ia bukan sahaja menyebabkan perasaan takut terhadap individu lain malah akan menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Kita akan menyiasat sesiapa sahaja yang memuat naik bagi tujuan menjual senjata api tiruan dalam laman sosial.

“Sesiapa yang didapati menjual objek seperti itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Senjata 1960,” katanya ketika dihubungi S2.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Najmuddin memberitahu, adalah menjadi kesalahan memiliki objek menyerupai senjata tulen berikutan pemilik boleh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Ujarnya, jika disabit kesalahan individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penjualan barang terbabit supaya memberi maklumat kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.