Menurut sumber, pegawai penguat kuasa ter­babit dikesan akan mencari peniaga air ketum di kawasan tertentu sebelum bertemu dengan mere­ka untuk mendapatkan wang perlindungan secara bulanan.

Katanya, wang berkenaan diberikan supaya tiada tindakan undang-undang diambil ke atas pengusaha air ketum tersebut.

“Penguat kuasa terlibat menggunakan beberapa modus operandi untuk mengambil wang perlindungan yang telah dipersetujui setiap bulan.

“Terdapat pengusaha meng­­gunakan orang tengah untuk mengutip sebelum diserahkan kepada penguat kuasa terlibat supaya perbuatan mereka terlindung dan tidak terdedah.

“Selain itu, terdapat juga penguat kuasa yang cukup berani dengan pergi sendiri ke lokasi penjual air ketum dan mengambil wang itu secara terbuka,” ujarnya.

Jelas sumber, berdasarkan undang-undang, penjual air ketum boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana memiliki dan menjual air ketum.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 30 (5) Akta Racun 1952 iaitu denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambah sumber, gara-garam ketamakan penguat kuasa terbabit, penjual air ketum kini lebih berani beroperasi dan seolah-olah tidak gentar dengan tindakan yang akan diambil sekiranya ditangkap.

“Perniagaan air ketum ini dipercayai mampu meraih pendapatan bersih sehingga RM350 sehari. Sebab itu mereka tidak kisah untuk membayar wang perlindungan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi tidak menolak penglibatan segelintir pegawai penguat kuasa terbabit dan pihaknya sedang giat menjalankan siasatan sebelum sebarang tindakan tegas diambil dalam masa terdekat.