Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi ketika ibu kanak-kanak terbabit berusia 32 tahun menghantar anak lelakinya ber­usia lima tahun dan anak perem­puan berusia tiga tahun di rumah bapanya di taman perumahan tersebut.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamed berkata, sebaik sahaja tiba di hadapan rumah bapanya, wanita itu pergi mengambil payung pada bonet kereta memandangkan hari hujan.

“Secara tiba-tiba, seorang lelaki memakai topi kain berwarna biru masuk ke dalam kereta mang­sa sebelum bertindak melarikan kenderaan tersebut.

“Mangsa yang cuba menyelamatkan anaknya itu cuba berpaut pada kereta namun terjatuh dan mengalami kecederaan pada kedua-dua tapak tangannya,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Noor Hashim berkata, suspek yang menyedari terdapat kedua-dua kanak-kanak dalam kereta itu kemudian bertindak meninggalkan mereka di dua lokasi berasingan yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

Katanya, kedua-dua kanak-kanak itu ditemukan oleh bapa saudaranya dan orang awam yang kemudiannya menghantar mereka pulang ke rumah datuk mereka.

“Kereta mangsa ditemukan terlibat dalam kemalangan di kawasan Ulu Choh, Pontian kira-kira pukul 8.45 pagi selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori.

“Suspek dipercayai melarikan diri bersama-sama seorang lagi rakan suspek sejurus kemala­ngan. Usaha memburu kedua-dua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pembantu klinik enggan ditemubual ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah bapanya hari ini.