Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, empat lelaki itu ditahan secara berasingan di Kuala Muda, Sungai Petani dan Kulim.

“Hasil siasatan awal, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 30 dan 40-an mengaku terlibat dan bergiat aktif dalam mencuri 'radio remote unit' (RRU) milik syarikat telekomunikasi Digi, Maxis dan U-Mobile sepanjang tahun ini.

“Susulan penahanan mereka, kita juga telah menahan tiga lelaki termasuk pemilik kedai lusuh di Jalan Besar Seberang Perai, Pulau Pinang bagi membantu siasatan. Pemeriksaan di kedai berkenaan, kita telah merampas 19 unit RRU yang dicuri,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, kesemua rampasan yang dianggarkan bernilai RM600,000 itu positif bagi beberapa kes yang dilaporkan di negeri ini dan Pulau Pinang.

Katanya,pihak polis menerima 100 laporan daripada pelbagai syarikat telekomunikasi berhubung kehilangan RRU ini.

“Setiap unit dianggarkan bernilai lebih RM30,000 namun kumpulan RRU ini mendapat keuntungan sebanyak RM2,000 seunit.

“Kita percaya ada syarikat berkaitan komunikasi yang membeli komponen ini di kedai lusuh berkenaan dan disyaki terdapat kumpulan lain yang turut menjalankan kegiatan mencuri RRU ini,” ujarnya.

Mior Faridalathrash memberitahu, kesemua suspek kini direman di Pulau Pinang dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE