Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Aswandy Anis berkata, suspek tersebut yang bertugas di salah sebuah pejabat kerajaan di Kuching telah datang ke sini bagi menghantar dadah berkenaan.

Katanya, tangkapan suspek hasil maklumat diperolehi daripada lima lelaki berusia 18 hingga 35 tahun yang ditangkap setelah didapati positif dadah methamphetamine yang mana salah seorang memiliki dua straw tiub berisi dadah syabu pada Rabu lalu.

“Suspek berusia 36 tahun ditahan di kawasan sebuah bank CIMB bersama dua peket plastik lutsinar disyaki berisi syabu seberat 2.5 gram dianggarkan bernilai RM650 di Pekan Serian kira-kira pukul 1.15 pagi.

“Penjawat awam ini dipercayai telah beroperasi selama  lima bulan malah mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit dadah dan curi kereta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian dalam mengekang masalah dadah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua BSJN,  Asisten Superintenden Tansli Mering dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintenden Alias Nen. - UTUSAN ONLINE