RUSYAINIE RAMLIE

Pegawai Perubatan Kanan Pusat Latihan Rekrut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Kolonel Dr. Rusyainie Ramli (gambar) berkata, hukuman tersebut adalah termaktub di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

“Kesalahan itu boleh dikategorikan sebagai tindakan menggunakan suratan pemalsuan sebagai tulen di mana, pesalah memiliki atau memalsukan serta menjual sijil cuti sakit yang merupakan dokumen rasmi.

“Pada masa sama, mereka juga boleh dikenakan hukuman serupa yang termaktub di bawah Seksyen 474 Kanun Keseksaan kerana memiliki suratan cagaran berharga atau wasiat yang diketahui sebagai pemalsuan dengan niat hendak menggunakannya sebagai tulen,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Rusyainie memberitahu, doktor terlatih wajib membuat pemeriksaan penuh dan menyeluruh terhadap pesakit sebelum membuat keputusan untuk mengeluarkan sijil cuti sakit.

“Seorang doktor terlatih, hanya boleh memberi cuti sakit atas budi bicara berdasarkan tahap keseriusan penyakit dialami supaya pesakit dapat dikecualikan daripada menjalankan tugas.

“Contoh, seorang guru yang mengalami sakit tekak wajar diberi cuti sakit kerana tugasnya yang perlu berkomunikasi dengan pelajar. Begitu juga mereka yang menghidapi demam campak yang wajar direhatkan kerana dikhuatiri penyakit dialami menjadi lebih teruk atau berjangkit kepada individu lain,” ujarnya.

Tambahnya lagi, mana-mana doktor di klinik atau hospital swasta yang bertindak mengeluarkan sijil tersebut tanpa pemeriksaan terhadap pesakit boleh diambil tindakan tatatertib.

“Tindakan mengeluarkan sijil cuti sakit tanpa pemeriksaan boleh mengakibatkan lesen kedoktoran atau lesen operasi klinik mereka ditarik balik.

“Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Kementerian Kesihatan boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana klinik swasta atau hospital yang didapati terlibat dengan kegiatan ini.

“Manakala Majlis Perubatan pula boleh mengambil tindakan tatatertib kepada mana-mana doktor atau pengamal perubatan swasta yang terlibat,” jelasnya.