Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kira-kira pukul 11.30 pagi semalam mangsa yang berusia 47 tahun dimaklumkan seorang wanita ketika di sebuah kantin sekolah bahawa lelaki dikenali sebagai Haji Rahman sedang mencari kontraktor penyediaan makanan.

“Haji Rahman dikatakan mencari kontraktor untuk menyediakan makanan peserta kursus di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTR) membabitkan 700 orang dengan kos sebanyak RM28 seorang sehari.

“Mangsa kemudian menghubungi suspek yang memintanya bertemu seorang wanita di Pejabat Agama Islam Daerah di Jengka untuk menyerahkan wang kontrak sebanyak RM21,000 kira-kira pukul 4.15 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, selepas menerima wang tersebut, mangsa diarahkan wanita berkenaan berjumpa kadi di ruangan menunggu pejabat agama berkenaan.

“Ketika menunggu, mangsa bertanyakan kepada staf mengenai kontrak tersebut namun dimaklumkan bahawa pejabat agama itu tidak membuat sebarang penawaran penyediaan makanan.

“Mangsa segera keluar mencari suspek wanita berkenaan namun telah melarikan diri,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE