Memetik portal berita Utusan Borneo Online, dalam kejadian pada 15 Mac lalu itu, mangsa yang berusia 36 tahun terpedaya dengan sebuah iklan di laman sosial Facebook yang menawarkan pinjaman peribadi kepadanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kerana terdesak untuk mendapatkan wang pinjaman sebanyak RM10,000, mangsa sanggup memindahkan wang bernilai RM2,056 sebanyak tiga kali ke dua akaun bank berlainan.

Menurutnya, mangsa dipercayai bertindak membuka iklan dan mengisi borang butiran peribadi seperti nama dan nombor telefon dalam iklan berkenaan.

“Pada 18 Mac, mangsa dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Mr. Jack’ dan mangsa bertanyakan tentang prosedur kerana ingin membuat pinjaman sebanyak RM10,000.

“Mangsa kemudian menghantar dokumen seperti salinan kad pengenalan, nama penuh, bil-bil elektrik dan dua senarai nama untuk rujukan bagi membuat pinjaman kepada lelaki itu melalui WhatsApp,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal memberitahu, lelaki itu kemudian membuat panggilan susulan dan mengatakan permohonan pinjaman mangsa diluluskan, namun mangsa dikehendaki membayar wang RM2,056 terlebih dahulu sebagai pembayaran insurans dan pelepasan cukai.

“Mangsa memindahkan wang seperti jumlah yang dikehendaki melalui Maybank2u sebanyak tiga kali transaksi ke dua akaun bank berlainan pada 19 Mac dan suspek juga meminta mangsa membuat bayaran tambahan RM1,200 untuk tujuan pelepasan cukai,” ujarnya.

Sementara itu, kejadian yang sama turut berlaku di Marudi, Sarawak apabila seorang kerani sebuah syarikat berusia 21 tahun, yang berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM10,000 terpaksa menanggung kerugian RM6,300 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.

Mustafa Kamal berkata, dengan modus operandi yang sama mangsa tertipu setelah melihat iklan pinjaman peribadi ketika melayari laman Facebook pada 7 Mac lalu dan meninggalkan nombor telefonnya di dalam ruangan komen Facebook tersebut.- UTUSAN ONLINE