MOHD. IRFAN ABDULLAH parah ditembak akibat sering mempamerkan kemewahan dalam Facebook. MEDIA SOSIAL

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Mohd. Irfan Abdullah, 26, yang berniaga kosmetik, pakaian dan barangan kemas cedera ditembak sehingga tembus betis kanan sebelum disamun tiga lelaki.

Ketiga-tiga suspek yang dikatakan berusia sekitar 30-an turut mengunci mangsa dari luar sebelum melarikan barangan kemas bernilai kira-kira RM150,000 dan wang tunai RM8,000.

Menurut ibu mangsa, Zawiyah Nawang, 66, kejadian disedari selepas Mohd. Irfan menghubungi kakaknya.

“Sebelum itu, dia datang ke rumah kakaknya untuk makan malam. Selepas mendapat panggilan telefon, kami terus ke pejabatnya tetapi kami tidak dapat masuk ke dalam kerana pintu jeriji di bahagian bawah telah dikunci suspek.

“Pintu tersebut terpaksa dipecahkan oleh pihak polis yang tiba sejurus selepas itu. Anak saya kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ujar Zawiyah, semasa menemui Mohd. Irfan di hospital, anaknya itu ada memberitahunya yang dia menyangkakan tiga lelaki tersebut merupakan pelanggannya sebelum dipukul dan ditembak di betis.

“Sebelum ini, saya ada berpesan kepada Irfan supaya jangan tunjuk duit dan barangan kemas di Facebook kerana bimbang menjadi sasaran penjenayah. Hari ini kebimbangan saya jadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan lemah dan berlumuran darah di tingkat atas pejabatnya.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tiga suspek bertopeng kelihatan menaiki kereta berwarna putih.

“Siasatan di lokasi kejadian, kita menemui peluru jenis 9 mm dan mangsa ditembak sebagai ugutan untuk menyerahkan barangan kemas dan wang tunai,” katanya.

Tambah Abdullah, pihak polis percaya suspek telah meloloskan diri ke negara jiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.