WAJAH salah seorang penyamun kes samun di sebuah kedai makan di Lipat Kajang, Jasin melalui kaedah fotofit. - UTUSAN ONLINE/Ihsan PDRM

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki sedang membuat persiapan memulakan perniagaannya sebelum didatangi dua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an bersenjatakan sebilah parang.


Difahamkan, mangsa bersama isterinya telah dipaksa menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 serta dua buah telefon bimbit sebelum kereta jenis Naza Citra mangsa yang bernimbor plat JMC 865 turut dilarikan oleh kedua-dua suspek terbabit.


Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu, kedua-dua suspek menaiki kereta jenis Proton Gen-2 berwarna perak.


“Suspek sebelum kejadian datang ke kedai itu dengan berpura-pura ingin membeli air minuman. Disebabkan tidak berpuas hati, suspek telah menyelongkar laci tempat menyimpan wang di kedai mangsa.


“Sejurus dimaklumkan tentang kejadian, pihak polis telah melakukan operasi termasuk memeriksa laluan keluar jalan persekutuan dan tol yang berhampiran. Mangsa dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.


Sehubungan itu, Arshad memaklumkan, kes kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu Samun Berkawan Bersenjatakan Parang dan saksi yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis dengan segera. - UTUSAN ONLINE