Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Zim, 33, berkata, pengalaman pahit itu bermula apabila dia bersama dua rakan perniagaan pergi ke Mindanao, Filipina untuk ber­urusan membeli kayu gaharu dengan kenalan tersebut yang bertindak sebagai orang tengah.

“Saya mengenali lelaki itu sebagai Noel Patalihug di laman sosial tersebut untuk membeli kayu gaharu apabila dia mendakwa mengenali penjual terbabit di sana.

“Pada 3 Mei lalu, kami bertiga pergi ke negara ber kenaan dan sebaik sahaja selesai urusan imigresen, saya dibawa berjumpa penjual itu dan membuat pembelian sebanyak 15 kilogram (kg). Saya lakukan dua kali pembelian secara tunai berjumlah RM80,000,” katanya kepada pemberita di pejabat Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh di sini, hari ini.

Menurut Zim, secara tiba-tiba hotel tempatnya menginap diserbu pihak berkuasa Filipina pada pukul 9.30 malam, 12 Mei lalu menyebabkan mereka bertiga ditahan selama dua minggu.

“Kami kemudian dibebaskan selepas campur tangan kedutaan Malaysia di Filipina selain didapati tidak bersalah oleh mahkamah di sana.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh meninggalkan negara berkenaan kerana proses mahkamah untuk membuktikan tidak bersalah mengambil masa kira-kira sebulan,” ujarnya.

Tambahnya, dia cukup terkilan kerana diperdaya kenalan tersebut yang memaklumkan proses pembelian kayu gaharu tidak salah di sisi undang-undang selain mendapat kelulusan pejabat hutan di negara itu.

“Dengan bantuan kedutaan Malaysia, kami bertiga akhir-nya berjaya pulang ke tanah air pada 1 Julai lalu,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Fuziah, pihaknya dimaklumkan mengenai ahli perniagaan ter­babit ditahan di Mindanao pada 22 Mei lalu dari ibu mang­sa sebelum berusaha menghubungi kedutaan Malaysia di sana.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, usaha membebaskan serta membawa pulang mangsa berjaya dilakukan dengan sempurna dan berharap tiada lagi rakyat negara ini menjadi mangsa penipuan.

“Saya harap mereka yang ingin menjalankan urusan perniagaan seperti itu atau apa sahaja urusan di luar negara agar mendapatkan maklumat serta menyemak dengan pihak berkuasa di sini atau kedutaan terlebih dahulu agar tidak menjadi mangsa penipuan terutama sindiket,” katanya.