Tertuduh, Khairil Azhar Kamaludin, 25, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Azureen Sahira Saufee Afandi selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, Khairil Azhar didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohd. Suferi Muhamat Sahh dengan sebatang spanar paip di Dataran Bandaraya Johor Bahru, kira-kira pukul 4.30 petang, 28 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Masni Muhamat Sahh dengan menggunakan tangan, di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 27 November ini. - UTUSAN ONLINE