Walau bagaimanapun, kete­gasan pihak polis yang melakukan serbuan susulan awal pagi ini berjaya ‘meranapkan’ kedegilan pemilik kedua-dua premis tersebut.

Namun, apa yang menjadi persoalan ialah sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah terlibat dalam menangani premis seumpama itu. Ini memandangkan kesalahan yang dilakukan premis tersebut dalam serbuan sebelum ini adalah serius.

“Satu disahkan beroperasi dengan lesen sudah tamat tempoh manakala satu lagi ada kes melibatkan dadah, tetapi semalam mereka beroperasi semu­la. Apa sudah jadi dengan PBT terlibat?

“Adakah segala-galanya mahu diserahkan kepada pihak polis sedangkan PBT atau pejabat daerah yang mengeluarkan lesen,” kata sumber kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Mingguan Malaysia dalam laporan khasnya hari ini mendedahkan bagaimana tiga premis hiburan menjadi lubuk jenayah seperti menghisap dadah, pelacuran, elak cukai dan judi haram.

Mengulas lanjut sumber itu ber­kata, kebiasaannya apabi­la terdapat serbuan pihak ber­kuasa dan disahkan berlaku ke­­gia­­tan jenayah di sesebuah pre­­mis hiburan, PBT sepatutnya mengambil tindakan menyita premis berkenaan.

“Namun ia seolah-olah tidak berlaku dalam kes dua premis tersebut. Mungkin disebabkan faktor itulah yang memungkinkan pemilik premis tidak takut beroperasi walaupun baru sahaja diserbu oleh pihak berkuasa,’’ kata sumber itu lagi.

Sehubungan itu, sumber berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menjalankan siasatan bagi menentukan apakah berlaku elemen rasuah dan salah kuasa dalam kes berkenaan.

“Kita bukannya menuduh tetapi hanya mahu siasatan dijalankan bagi mengelakkan wujudnya sebarang persepsi negatif terhadap pihak berkuasa khususnya PBT terlibat,’’ katanya.

Sumber itu berkata, tindakan pemilik tersebut kembali operasi biarpun tidak sampai 24 jam di­serbu boleh disifatkan memperlekehkan kewibawaan pihak berkuasa.

“Keadaan ini tidak boleh di­biar­kan, ia memandangkan pre­mis itu bukannya berope­rasi secara sembunyi-sembunyi tetapi secara terbuka. Soalnya apakah PBT terlibat benar-benar tahu atau sengaja buat tidak tahu, inilah yang perlu disiasat oleh SPRM,’’ katanya.