Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhajiri Mat Yazid, 37, mengalami kecederaan di dahi selain putus urat siku tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, ketika kejadian mangsa berada di kedainya bersama seorang jurukimpal dan tiba-tiba diserang dua suspek tidak dikenali yang memegang pedang.

“Kedua-dua suspek yang bertopi keledar, bertopeng hitam, berpakaian gelap dan bersenjatakan dua bilah pedang itu kemudian melarikan diri menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna merah namun, nombor pendaftarannya gagal dicam.

“Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian dipercayai akibat dendam kerana sebelum ini mangsa ada membuat laporan yang kedainya dipecah masuk pada 2 Januari lalu dan bersabit kes itu, dua suspek berjaya ditangkap dengan seorang telah dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zamri, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut dan usaha memburu dua suspek giat dijalankan. - UTUSAN ONLINE