Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohammad Khairul Abidin Abdul Rahim, 34,  yang berasal dari kampung Atas Tol di sini  mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan tersebut semasa sebutan semula kes berkenaan.

Beliau memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan yang dilaksanakan secara berasingan.

"Saya bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya (Mohd. Sophian Zakaria) bahawa perbuatan tertuduh menyebarkan gambar mengaibkan mangsa adalah keji dan bertujuan untuk menghancurkan masa depan wanita itu.

"Tertuduh dalam rayuannya juga tidak menunjukkan sebarang kekesalan mahu pun memohon maaf kepada mangsa atas perbuatannya tersebut," katanya ketika membacakan penghakimannya.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, Mohammad Khairul Abidin didakwa secara sedar telah memulakan penghantaran komunikasi bersifat lucah dengan niat untuk menganiayai pengadu yang kini bertugas sebagai pegawai perubatan.

Tertuduh didakwa memuat naik kandungan lucah itu di dalam laman blog menerusi aplikasi blogspot dan wordpress dari 4 Julai hingga 16 Jun 2015 yang kemudiannya disedari pengadu pada  3 Ogos 2015 sebelum 
membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Mohammad Khairul Abidin didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.-UTUSAN ONLINE