Individu terbabit yang bekerja sebagai pengurus di sebuah firma guaman di Bangsar South, dekat sini, dikatakan gagal menyerahkan wang hasil jualan serta kunci rumah kepada mangsa walaupun urusan pinjaman bank sudah selesai.

Seorang daripada wakil mang­sa yang hanya mahu dikenali sebagai Nabil, 31, berkata, beliau berurusan dengan lelaki berusia 45 tahun itu selepas diper­kenalkan ejen yang dilantik untuk menjual rumah milik ibu saudaranya di Kelana Jaya.

“Rumah berkenaan dijual dengan harga RM2.5 juta pada tahun lalu, dan sehingga kini kami hanya menerima RM250,000 sahaja daripada jumlah tersebut.

“Cubaan kami untuk menghubungi lelaki itu gagal, malah panggilan telefon ke firma guaman tempatnya bekerja juga tidak dilayan,” katanya di sini hari ini.

Beliau adalah antara 13 mangsa yang berkumpul di pekarangan bangunan firma guaman ber­kenaan untuk membuat aduan kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Ram Talib Jani Mohamed, 54, yang kerugian RM90,000 selepas berurusan dengan suspek berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan secepat mungkin terhadap individu tersebut.

“Lebih 50 penjual dan pembeli rumah telah menjadi mangsa lelaki tersebut sejak empat tahun lepas, laporan polis juga sudah banyak dibuat terhadapnya, namun dia masih bebas menipu orang ramai.

“Malah, kini dia sudah membuka syarikat hartanah baharu sedangkan hutang dengan kami masih belum dilangsaikan, kami bimbang ramai lagi mangsa yang akan tertipu selepas ini,” ujarnya.

Tambah Ram Talib, mereka buntu kerana terpaksa menanggung kerugian yang besar sehingga ada dalam kalangan mangsa yang bercerai-berai akibat mengalami masalah kewangan.

“Sekiranya ada pihak se­perti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau firma guaman yang dapat menyelesaikan masalah ini kami minta agar tampil membantu kami dengan menghubungi saya di talian 012-2804733,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfiels, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansur ketika dihubungi berkata, beliau akan meneliti kesemua laporan polis yang dibuat mangsa dan akan memberikan kenyataan dalam masa terdekat.