Dua lelaki tempatan berusia 30-an hingga 40-an itu ditahan di sebuah stesen minyak di kawasan tersebut kira-kira pukul 6 petang.


Ketua Cawangan KPDNHEP Kubang Pasu, Mohamad Amir Abdullah berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori tiga tan dinaiki dua suspek terbabit menemukan 20 tong plastik mengandungi 400 liter diesel.


“Siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki dokumen kebenaran atau permit untuk menyimpan dan menggunakan barang kawalan tersebut dari pegawai bekalan KPDNHEP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Kata beliau, bekalan diesel tersebut dikatakan untuk kegunaan pertanian.


“Nilai sitaan lori adalah kira-kira RM10,000 dan diesel RM820,” ujarnya.


Tambahnya, pemilik stesen minyak berkenaan juga akan dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi arahan pegawai bekalan.


“Siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan manakala bagi syarikat, boleh didenda tidak lebih RM2 juta,” katanya. - UTUSAN ONLINE