L. Ganis, 43, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas keempat-empat pertuduhan tersebut yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.

Mengikut pertuduhan utama, Ganis yang diwakili peguam S. Muthuveeran didakwa telah menculik untuk mengurung secara salah pasangan suami isteri, P. Sundaram, 37, dan K.Shanti, 41, pada kira-kira pukul 3 petang hujung bulan Mac lalu di hadapan sebuah kedai runcit di Pengkalan Hulu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Jaafar mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ganis juga didakwa menyembunyikan kedua-dua mangsa dengan menghantar mereka ke sebuah rumah kongsi di Ladang Kalvi Felda Bukit Besout 1, Sungkai dekat sini bagi mengelakkan mereka memberi keterangan terhadapnya bagi kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007. - UTUSAN ONLINE