Dalam kejadian kelmarin, pengurus kilang berusia 36 tahun itu menerima panggilan telefon yang mendakwa mempunyai hutang kad kredit dengan sebuah bank tempatan berjumlah RM13,268.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan, selepas menafikan berkenaan hutang itu, pengadu kemudiannya diminta menghubungi seorang anggota polis kononnya telah terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Rentetan daripada panggilan telefon kepada individu yang mendakwa polis di Petaling Jaya itu, mangsa semalam kemudiannya memindahkan RM40,000 ke satu akaun bank kononnya sebagai jaminan keselamatan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

“Bagaimanapun, mangsa kemudiannya menyedari dia ditipu selepas memindahkan wang tersebut dan membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anbalagan mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan daripada pihak tertentu yang mendakwa mereka terbabit dalam transaksi bank atau kad kredit tertentu.

Katanya, penipuan Macau Scam membabitkan jumlah kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit sudah terlalu kerap dilaporkan media justeru sepatutnya menyebabkan orang ramai lebih berwaspada. - UTUSAN ONLINE