SEORANG pekerja kedai kek menunjukkan rakaman CCTV suspek sebelum menyamun premisnya di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Dalam kejadian pukul 9.15 malam, suspek berjaya melarikan wang hasil jualan berjumlah RM2,500 selepas mencederakan Noraizan Mat Zain, 40.

Bagaimanapun, tiga lagi pe­kerja kedai tersebut tidak me­ngalami kecederaan.

Salah seorang pekerja, Esi The­resia Sae, 29, berkata, ketika kejadian dia berada tidak jauh dari kaunter wang tersebut namun tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu mangsa kerana suspek bersenjatakan pistol.

“Selepas mencederakan pe­ngurus saya dan merampas wang tunai RM2,500, lelaki itu yang memakai penutup muka melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, semakan rakaman te­levisyen litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran mendapati suspek dilihat melalui kawasan itu sebanyak tiga kali sebelum berhenti di hadapan kedai.

“Suspek terus masuk ke arah kaunter juruwang sambil memegang objek yang menyerupai pistol dan terus meminta wang daripada mangsa.

“Mangsa belum sempat berbuat apa-apa, suspek terus me­ngetuk kepala mangsa dengan objek tersebut dan mengambil wang tunai berjumlah RM2,500 di dalam mesin wang dan melarikan diri dengan motosikal jenis Yamaha Ego,” katanya.

Menurut Ismail, kedai tersebut mempunyai CCTV sendiri tetapi ketika kejadian, alat itu tidak berfungsi.

“Mangsa juga tidak dapat mengecam wajah suspek yang bercakap dalam loghat Kelantan. Semakan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek juga didapati palsu,” katanya.