MOHD. HAFIZAN A. HAFIZ
MOHD. HAFIZAN A. HAFIZ

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, lelaki tersebut Mohd. Hafizan A. Hafiz 38, mempunyai alamat terakhir di No. 74 Jalan Kemboja 4, Taman Muda, Ampang, Selangor.

Jelasnya, dalam kejadian pukul 9 malam itu, suspek yang baru sebulan bekerja berpura-pura mahu menumpang tidur di pejabat syarikat kawalan keselamatan tersebut.

Bagaimanapun katanya, kira-kira pukul 3 pagi, tiga pengawal keselamatan yang bertugas dikejutkan lelaki berkenaan yang memaklumkan bilik kebal tidak berkunci.

“Sebaik tiba di bilik kebal berkenaan, suspek yang membawa senapang kemudiannya mengacu senjata itu di belakang badan tiga pengawal keselamatan terbabit sebelum mengurung mereka di bilik berhampiran.

“Lelaki itu kemudiannya mengambil masa 20 minit untuk membawa RM2.5 juta dalam sebuah beg sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Fadzil turut menjelaskan, polis telah menahan reman tiga pengawal keselamatan tersebut selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Menurutnya, polis juga akan menjalankan siasatan terperinci mengenai dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada syarikat tersebut manakala gerakan mencari suspek masih dijalankan.

“Suspek dikehendaki kerana terlibat dengan kes Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan serta samun bersenjata serta Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971,” jelasnya.