Sumber berkata, individu berusia 59 tahun itu ditahan bersama enam lagi ahli keluarga dan proksi dalam satu operasi khas yang dijalankan serentak  di beberapa lokasi di Terengganu dan ibu negara bermula kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Suspek berusia 59 tahun itu disyaki telah menyalahgunakan kuasa dengan melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan kepada diri dan keluarganya  antara tahun 2010 hingga 2017.

"Syarikat-syarikat itu adalah milik isteri, anak, menantu dan proksi suspek yang dilantik bagi memberi perkhidmatan dan bekalan yang berkaitan dengan program serta kursus bernilai kira-kira RM5.4 juta," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani mengesahkan penahanan tersebut dan bukti sedang dikumpulkan bagi tujuan siasatan.

"Kesemua suspek yang ditangkap dijangka  dihadapkan ke mahkamah bagi permohonan reman esok," jelasnya.

Tambah Simi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.- UTUSAN ONLINE