Menurut kertas pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Shafee didakwa menerima bayaran hasil daripada aktiviti haram melalui sekeping  cek RM4.3 juta dan RM5.2 juta milik Najib pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh itu juga didakwa membuat satu penyata yang tidak betul dengan meninggalkan pendapatan yang diterima pada tarikh-tarikh tersebut di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jalan Duta di sini pada  3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda atau nilai aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Muhammad Shafee merupakan peguam utama yang mengetuai barisan tujuh peguam bela yang mewakili Najib ketika bekas Presiden UMNO itu didakwa pada 4 Julai lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi melibatkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya,  Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya tiada layanan istimewa diberikan kepada tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pula membantah jaminan namun sekiranya mahkamah cenderung memberikan jaminan pihaknya mencadangkan jaminan sebanyak RM2.5 juta dengan seorang penjamin.

“Tertuduh seorang yang sangat sibuk dan pernah ketika kesnya disebut di mahkamah, tetapi tertuduh sebagai peguam tidak hadir mengendalikan kesnya di mahkamah. Oleh itu mahkamah perlu mengenakan personal bon yang sangat tinggi bagi memastikan dia hadir ke mahkamah,” ujar Ahmad Akram.

Muhammad Shafee juga mewakili Najib ketika didakwa pada 8 Ogos lalu atas tujuh pertuduhan termasuk tiga pertuduhan baharu iaitu didakwa menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram yang dikaitkan dengan dana syarikat SRC International, empat tahun.

Mahkamah membenarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin dan pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah. 

Azura menetapkan jumlah tersebut dijelaskan RM500,000 hari ini manakala bakinya dilunaskan pada 18 September ini. 

Mahkamah mengarahkan penyerahan dokumen dibuat pada 2 Oktober ini. 

Kes akan disebut semula pada 2 Oktober ini. Dua pasport Muhammad Shafee iaitu pasport antarabangsa Malaysia dan pasport diplomatik diserah kepada mahkamah sebagai syarat tambahan jaminan.- UTUSAN ONLINE