Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, suspek berusia 21 tahun itu melakukan perbuatan tersebut menerusi satu akaun Facebook yang didaftarkan atas nama ‘Amaru Din’ dan satu laporan polis telah dibuat anggota polis tersebut.

“Pengadu (anggota polis) ketika itu membuat rondaan di Pasar Borong Kuala Lumpur bersama seorang lagi anggota polis pada pukul 6.30 petang dan ternampak suspek bersama rakannya menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

“Satu saman dikeluarkan pengadu dan sekitar pukul 11.45 malam, rakan pengadu memberitahu gambarnya ketika bertugas telah tular di laman sosial Facebook dengan status berbaur hinaan,” katanya.

Suspek memuat naik status tersebut dan menularkannya di laman sosial Facebook Penduduk Batu Caves/Selayang/Gombak.

Tambah R.Munusamy, susulan laporan itu, polis menahan suspek di rumahnya di Bandar Baru Selayang, Selangor kira-kira pukul 2.10 pagi tadi.

Selain tangkapan, jelasnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek.

“Menerusi siasatan awal, suspek mengaku mengambil gambar semasa dia disaman dan memuat naik status di akaun Facebook miliknya kerana berasa marah dan tidak berpuas hati,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia. - UTUSAN ONLINE