Alias Sulaiaman, 53, yang mengaku bersalah atas 12 daripada 54 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy turut berdepan hukuman penjara 18 bulan jika membayar denda.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 117 (1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan dibaca bersama Seksyen 143 akta yang sama.

Tertuduh dan syarikatnya, Madain Al Taqwa Travel & Tours Sdn. Bhd. didakwa gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bertarikh 25 November 2015 dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diserahkan iaitu pada 6 Jun 2017.

Tertuduh sebelum ini diperintahkan untuk memulangkan RM7,800 kepada pihak yang menuntut iaitu Kamarudin Yusof, 56, di Pejabat TTPM Kemaman pada 22 Jun 2017.

Selain itu, tertuduh dan syarikatnya turut menghadapi 11 lagi pertuduhan sama membabitkan lima lagi mangsa melibatkan kerugian RM23,100.

Bagi setiap kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara kepada tertuduh yang dikenakan enam tuduhan manakala syarikatnya yang berdepan enam tuduhan juga didenda sebanyak RM1,500 bagi setiap kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Terengganu, Mohd Farizul Hassan Bakri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku salah terhadap 42 lagi pertuduhan membabitkan 21 lagi penuntut dengan kerugian berjumlah RM116,760, dan mahkamah menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan menawarkan jaminan sebanyak RM500 bagi setiap kes berkenaan.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia menasihatkan mereka yang ingin mengerjakan umrah atau melancong agar tidak mudah terpengaruh dengan pakej yang menawarkan harga terlalu rendah dan tidak munasabah.

“Di samping itu pastikan terlebih dahulu selain menyemak tentang kedudukan syarikat sama ada berdaftar agar tidak menjadi mangsa penipuan,”ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE