Zurita Jusoh, 41, dituduh menyeludup tiga lelaki warga Myanmar kira-kira pukul 4 pagi, 1 Oktober lalu di hadapan Bangunan Haji Hamid Restoran, Taman Desa SBJ Putra, Pasir Pekan, Tumpat dekat sini. 

Bagaimanapun lelaki tersebut mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail. 

Nazri berkata, kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan dan tidak dibenarkan jaminan.  

Menurut kertas pertuduhan, Zurita didakwa menjadi operator kepada sebuah kereta jenis Honda Accord untuk menggangkut migran yang diseludup, Khine Mg Tun, 25; Myo Tua, 20, dan Myo Lin, 25, ketika ditahan. 

Bapa kepada enam anak itu dituduh mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang boleh membawa hukuman melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pegawai Pendakwaraya Jabatan Imigresen, R. Puvan. 

Difahamkan tertuduh memelihara lebih 30 ekor kambing dan turut bekerja sebagai buruh binaan. - UTUSAN ONLINE