Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ahsmon Bajah berkata, hasil maklumat yang diterima, kira-kira pukul 11.30 malam sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menjalankan Op Tapis di kawasan felda tersebut.

Katanya, dalam serbuan di sebuah rumah, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dan merampas sebuah beg berzip yang mengandungi tujuh peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis Heroin anggaran berat kasar 15.42 gram (g), sepeket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja anggaran berat kasar 0.72g dan sebuah alat penimbang digital berwarna hitam.

“Harga bagi bekalan dadah yang dirampas daripada suspek tersebut dianggarkan bernilai RM400 bagi kegunaan kira-kira 50 penagih di kawasan tersebut.

“Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati suspek terbabit positif dadah jenis Opiate,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahsmon berkata, suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini hingga Isnin depan bagi tujuan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE