Katanya, beliau berharap dapat menyelesaikan kontroversi itu dengan baik dan berlapang dada menerima kedatangan Lan Pet Pet.

“Bagaimanapun, sehingga kini (berita ini ditulis), saya tidak tahu bila dia hendak datang dan tidak terima sebarang panggilan telefon sama ada dari dia atau wakilnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mazlan, 49, dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Seremban semalam selepas mengaku bersalah memukul Yahya pada 6 April lalu.

Pelawak itu dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Media baru-baru ini melaporkan, polis menyiasat pelawak itu selepas disyaki menyerang warga emas itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di taman perumahan Acacia Park Desa Jati di Nilai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, pelawak terbabit dipercayai menumbuk muka Yahya sebanyak tiga kali sebelum menendang mangsa.

Yahya memberitahu, sekiranya Lan Pet-Pet hendak berjumpa dengannya, pertemuan itu mesti disertai oleh para wartawan dan persatuan penduduk Acacia Park memandangkan kejadian itu telah diketahui oleh ramai orang termasuk di luar negara.

“Ia penting bagi membersihkan nama baik kedua-dua kami. Saya sendiri menerima panggilan daripada ramai orang termasuk dari kampung yang bertanya mengenai kejadian itu,” ujarnya.

Mengenai cadangan mengemukakan saman malu ke atas Lan Pet Pet, beliau belum membuat keputusan muktamad mengenainya kerana ia bergantung kepada pertemuan dengan pelawak itu.

“Saya harap dapat mencapai keputusan yang baik untuk kedua-dua pihak,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE