Premis berkenaan difahamkan sebelum ini pernah menerima ancaman serupa iaitu pada 5 Februari lalu dan kelmarin namun laporan polis hanya dilakukan untuk dua kejadian terbaharu.

Menurut A. Paskanathen, 67, ketika kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, dia berada di dalam pondok pengawal tersebut sebelum dikejutkan bunyi motosikal yang berhenti di hadapan pondok berkenaan.

Katanya, dia bagaimanapun cemas apabila menyedari kehadiran dua lelaki tidak dikenali dengan seorang daripadanya menghalakan pistol ke arah pondok pengawal itu sebelum melepaskan tembakan.

“Saya betul-betul takut apabila melihat lelaki yang membonceng motosikal melepaskan tembakan dan terkena cermin pondok pengawal ini sebelum kedua-dua mereka kemudiannya beredar.

“Ini kejadian kali ketiga selepas kejadian pertama pada 5 Februari lalu di mana cermin restoran ini pecah dipercayai ditembak dan kejadian kelmarin juga kerana perbuatan sama,” katanya. - UTUSAN ONLINE