Menurut sumber, suspek bertindak kejam terhadap bayi berusia setahun dua bulan itu kerana marah terhadap ibunya lambat membayar upah menjaga anaknya.

Katanya, pengasuh berusia 23 tahun itu ditangkap oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di rumah sewanya di Blok A, MJC Batu Kawa di sini pada pukul 2 petang semalam, selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

"Ibu bayi berusia 17 tahun yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai kasut telah meninggalkan mangsa dijaga oleh pengasuh terbabit sejak tiga minggu lalu dan kali terakhir berjumpa anaknya pada Isnin lalu.

"Pada pukul 8.35 pagi, Khamis lalu, ibu mangsa mendapat mesej melalui aplikasi Whatsapp daripada suspek memaklumkan anaknya yang sedang bermain tiba-tiba menangis sehingga mukanya pucat," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sumber berkata, mangsa yang bergegas pergi ke rumah suspek untuk melihat anaknya mendapati bayi terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu segera membawanya ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, doktor mendapati mangsa berada dalam keadaan kritikal berpunca akibat lama tidak diberi makan dan minum iaitu hampir tiga minggu, di samping mengalami lebam di dahi.

Katanya, akibat lama tidak makan dan minum, mangsa diserang sawan dan dijangkiti kuman pada paru-paru.

Tambahnya, suspek apabila ditangkap dan disiasat mengaku ada memukul mangsa menggunakan botol susu dan tangan pada bahagian kepala mangsa untuk menghentikan tangisannya.

"Suspek juga mengaku bertindak demikian disebabkan marah terhadap ibu mangsa yang lambat membayar upahnya.

"Kes tersebut disiasat Seksyen 31(1)a Akta Kanak-kanak 2001," katanya. - UTUSAN ONLINE