ROS AZLINA

Ros Azlina Mohd. Ismail, 46, didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Persiaran Iskandar Perdana 9, Sek­syen 2 di Seri Iskandar di sini pada pukul 11.30 pagi, 8 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, wanita tersebut didakwa bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Muhammad Zaheen Affan Mohamad Zulkarnain.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Naidatul Athirah menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh namun Ros Azlina yang tidak diwakili peguam be­la memohon mah­ka­mah mengurangkan jumlah ikat jamin tersebut.

Wanita itu memaklumkan dia ti­dak berkemampuan ekoran mempunyai tanggungan seramai sembilan orang anak.

Hakim Datuk Ju­lie Lack Abdullah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan de­ngan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin dan 18 September ini ditetapkan untuk sebutan kes dan lantikan peguam.

Akhbar pada 11 Ogos lalu me­laporkan, Muhammad Zaheen Affan disahkan patah tangan kanan setelah pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan dipulas pada lengan mangsa.

Perbuatan tersebut disyaki dilakukan pengasuhnya yang berusia 46 tahun dan wanita tersebut kemudian direman empat hari untuk siasatan.

Bayi itu dihantar ke Hospital Changkat Melintang sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Seri Manjung dan keadaannya kini dilaporkan stabil.